KLUANG – Hasrat seorang cucu membawa datuk dan neneknya untuk mengambil ubat di sebuah klinik di Simpang Renggam tidak kesampaian apabila Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir dalam kejadian di Jalan Johor, Kampung Pinggir di sini hari ini.
Dalam nahas pada kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan pemandu Perodua Alza, Izzah Shahirah Sahri, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan.
Kemalangan itu turut meragut nyawa datuk, Md. Salleh Kosran, 75, dan neneknya, Miskina Naining, 70.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 pagi.
“Tujuh anggota Pasukan Keluar Operasi (PKO) bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan sebelum mendapati benar berlaku kemalangan melibatkan Perodua Alza dan lori pasir tanpa muatan jenis Hino.
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas. Ketiga-tiga mangsa di dalam kereta Perodua Alza disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- K! ONLINE
Leave a Reply