Blog Berita Online

Berita Utama

Suami isteri maut dalam perjalanan ke pusat mengundi

KOTA TINGGI – Suami isteri maut apabila kereta Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing tengah hari tadi.

Mangsa ialah Muhammad Izwan Mansor, 37, pensyarah di Yayasan Pelajaran Johor manakala isterinya, Saidatul Shahridin Khadijah Shahridin, 31, pensyarah di Kolej Vokasional Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pukul 12.08 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Perodua Alza dalam perjalanan ke Skudai untuk mengundi di Skudai setelah selesai mengundi di Felda Lok Heng.

“Pemandu berusia 37 tahun yang sedang menghala ke Johor Bahru dipercayai terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan menghala ke Mersing lalu bertembung dengan Toyota Hilux.

“Ekoran kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang Perodua Alza iaitu suami dan isteri meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak perempuan mereka berusia tiga tahun patah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan dan ketika kejadian berlaku keadaan jalan basah akibat hujan.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai, khasnya pengguna jalan raya supaya sentiasa peka dan berhati-hati semasa memandu dengan mengambil kira faktor cuaca demi menjaga keselamatan diri dan pengguna yang lain,” katanya. –UTUSAN

Leave a Reply