JELI – Hasrat seorang pemandu kren untuk pulang ke kampung bagi menyambut awal Ramadan tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki bersama isteri dan dua anak lelakinya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Che Mohamed Faizul Che Muda, 31, yang bekerja di Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Wira bersama isteri, Hayati Rahim, 26, termasuk dua anak lelaki masing-masing berusia enam dan dua tahun.
Menurutnya, keluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang dan sedang menghala ke Tanah Merah untuk pulang ke kampung mangsa di Pasir Mas.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai bertembung dengan kereta jenis BMW 520i yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang datang dari arah bertentangan.
“Nahas itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, isteri mangsa mengalami luka pada kening manakala anak sulung mangsa cedera (bahagian dalaman) badan dan adiknya tidak cedera.
Pemandu kereta BMW 520i pula hanya mengalami sakit badan. -KOSMO! ONLINE
Leave a Reply