Blog Berita Online

Berita Utama

Isteri tak sangka kerisauan jadi kenyataan, suami maut dalam kemalangan

KLUANG – Kebimbangan seorang isteri terhadap keselamatan suami ketika bertugas akhirnya menjadi kenyataan apabila menerima panggilan telefon berkenaan kemalangan yang meragut nyawa suaminya malam semalam.

Syahira Sabar, 27, sering terbayangkan insiden yang mengorbankan pemandu van milik Kementerian Kesihatan (KKM), di Johor Bahru, Ogos lalu.

Ahli farmasi itu berkata, arwah suaminya, Aidil Hamidun, 27, seorang suami dan bapa bertanggungjawab selain seorang yang pemurah.

“Memang apabila ada masa bersama kami akan selalu berbual mengenai apa sahaja termasuk soal kematian.

“Kami memang terkesan dengan kisah-kisah orang meninggal dunia ketika Covid-19 ini termasuk kejadian kemalangan maut terhadap pemandu van KKM baru-baru ini.

“Tapi tak sangka pula suami saya akhirnya pergi ketika bertugas, kerana saya memang terbayang-bayang dan risau mengenai kematian semasa bertugas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, di sini hari ini.

Syahira berkata, arwah yang sudah berkhidmat lebih lima tahun dengan KKM tinggal berasingan kerana bertugas di Simpang Renggam dan kali terakhir bertemu adalah pada Ahad lalu.

“Saya mendapat panggilan mengenai kejadian daripada doktor di Simpang Renggam memaklumkan kemalangan berkenaan kira-kira 8.40 malam tadi.

“Saya sedih dan terkejut kerana arwah memang suka ajak saya bersolat jemaah dan selepas ini saya pasti merindukan kenangan dengannya.

“Bagaimananpun saya reda kerana arwah pergi ketika bertugas dan semoga Allah menerima semua amalannya dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, seorang penolong pegawai perubatan maut serta merta di lokasi kejadian selepas ambulans dinaiki bertembung sebuah lori treler di kilometer 77 Jalan Johor Bahru – Air Hitam, 8.20 malam tadi.

Katanya, mangsa yang cedera adalah pemandu ambulans Othman Ghafan, 50, dan pesakit dikenali sebagai Nursyahira Halan, 24, dan Nur Syahda Halan, 18 serta waris mereka Sukiman Hasan, 59.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ambulans yang dipandu dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam dipercayai telah melanggar bahagian belakang tayar sebelah kiri treler.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K! ONLINE

Leave a Reply