Blog Berita Online

Berita Utama

Syafiq Ahmad dipercayai terlelap ketika memandu – Polis

NIBONG TEBAL – Pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dipercayai terlelap sebelum Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan dan terbabas dalam kemalangan di Kilometer 163.6 berhampiran Plaza Tol Jawi, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan mendapati punca kemalangan itu dipercayai akibat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan tertidur dan menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan.

“Gagal mengawal kenderaan menyebabkan pemandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik dan terseret berdasarkan kesan calar di jalan.

“Kejadian menyebabkan tiga penumpang iaitu bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah warga Indonesia maut di lokasi akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chong Chern berkata, isteri kepada Muhammad Syafiq patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut, otak serta patah tulang paha kiri.

“Anak sulung mereka juga dipercayai mengalami pendarahan dalam otak yang mana kedua-dua ibu dan anak itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Muhammad Syafiq pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi, Muhammad Syafiq yang memandu dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut berada dalam kenderaan terbabit adalah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dua anak, Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari dan Aaira Nur Saffiyya, 2, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Jenazah Zainab dan Muhammad Aisy Saqeef selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang, Kedah selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB).

Jenazah pembantu rumah itu pula sudah dituntut Pegawai dari Konsulat Indonesia Cawangan Pulau Pinang yang mana ia akan dihantar pulang ke negaranya untuk dikebumikan.

Leave a Reply