Blog Berita Online

Berita Utama

Tak sempat balik jumpa ibu, tukang gunting maut kereta terputus dua

KUALA SELANGOR – Seorang tukang gunting maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan sehingga terputus dua di Kilometer 28 Jalan Kuala Selangor – Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Mohamad Zulkhairin Syazwan Abdullah, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan termasuk kereta Proton Wira dipandu mangsa.

Katanya, Mohamad Zulkhairin yang memandu dari arah Bestari Jaya ke Sungai Buloh dipercayai bergesel dengan sebuah lagi Proton Wira di laluan sama.

“Ia kemudian mengakibatkan kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan melambung memasuki laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian dilanggar sebuah Volkswagen Golf hingga menyebabkan ia terputus dua dan berpusing 50 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Empat individu lain yang berada dalam dua kereta lain bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Mereka masing-masing terdiri daripada pasangan suami isteri dan adik-beradik,” katanya.

Jelas Ramli, walau bagaimanapun pemeriksaan pihaknya mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Keadaan permukaan jalan di tempat kejadian basah dan kedua-dua tayar kereta mangsa yang terputus dua turut pecah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply