PETALING JAYA- Secara kebiasaannya harga perlu dibayar seseorang pelanggan apabila menikmati seekor ikan siakap di kedai tomyam ialah sekitar RM50 seekor dengan saiz hidangan sesuai dimakan untuk empat orang.
Bagaimanapun, berbeza dengan nasib dialami sekumpulan individu apabila mereka terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram (kg) di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Mohd. Faris Zulkarnain di Facebook miliknya, mereka terdiri daripada tujuh individu juga terpaksa membayar bil keseluruhan sebanyak RM1,852.50 dan jumlah itu termasuk dengan harga ikan berkenaan.
“Selepas mengelilingi beberapa pulau di Langkawi, kami dibawa ke salah sebuah restoran untuk makan tengah hari, seperti kebiasaan kami memesan menu yang biasa ditempah di mana-mana kedai tomyam.
“Secara kebiasaan, untuk tujuh orang makan, dua ekor siakap sudah memadai, maka kami pun tempah dua ekor ikan untuk tujuh orang makan berserta menu-menu yang lain,” tulisnya.
Katanya lagi, salah seorang pelayan kedai itu datang bagi mengesahkan saiz ikan dan selepas diberitahu mereka bersetuju untuk mengambil seekor ikan sahaja berdasarkan anggaran saiz yang ditunjukkan.
“Saiz yang ditunjukkan itu hanya besar sedikit daripada ikan yang kita biasa makan di kedai tomyam. Namun, apabila ikan itu sampai kami berasa terkejut kerana ia dapat diisi didalam pinggan besar.
“Kami pun cakap, ini bukan untuk tujuh orang makan, tetapi mungkin untuk 30 orang makan. Masa itu, jangkaan harga yang perlu dibayar ialah sekitar RM700 hingga RM800 sahaja namun meleset apabila harganya mencecah RM1852.50,” jelasnya.
Antara menu yang diambil mereka ialah ikan siakap (RM1,196), sotong sekilogram (RM120), ketam (RM87.20) dan udang (RM200).
Difahamkan, beberapa individu lain juga terpaksa membayar harga mahal antaranya RM755 bagi dua orang makan selain satu lagi pelanggan membayar harga RM800.
Perkongsian lelaki itu mendapat perhatian netizen apabila ia dikongsi lebih 6,300 pengguna serta mendapat lebih 4,300 komen. -K! ONLINE
Leave a Reply