MASJID PUTRA di Putrajaya menafikan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir untuk solat Jumaat semalam, seperti rakaman video yang tular di media sosial semalam.
Mereka sebaliknya mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard yang membenarkan kehadiran hanya 300 jemaah, sehingga menyebabkan ada jemaah yang tidak dibenarkan masuk untuk solat Jumaat.
“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Kenyataan Masjid Putra bagaimanapun tidak menyebut jumlah kuota jemaah tetap yang mendaftar awal.
Semalam, tular rakaman video yang memberi tanggapan ada layanan berbeza kepada jemaah yang datang untuk solat Jumaat sehingga ada dakwaan masjid itu memberi layanan istimewa kepada golongan kenamaan.
Pihak pengurusan Masjid Putra juga memaklumkan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat melebihi kapasiti setiap minggu, sejak waktu ditetapkan 11 pagi.
“Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pinta pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.
“Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para Jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” kata kenyataan itu.
Masjid Putra bagaimanapun akan memperbaiki perkhidmatan demi menjaga nama baik institusi masjid dan mengalu-alukan cadangan serta maklum balas orang ramai.
“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” katanya.
SOP kehadiran di masjid jadi buah mulut ramai selepas kerajaan minggu ini melonggarkan lagi beberapa aktiviti ekonomi dan sosial, termasuk pawagam, teater dan galeri seni. – 11 September, 2021.
Leave a Reply