Permintaan terhadap Android tv box semakin meningkat dek kerana kandungan perkhidmatan penstriman video yang berkualiti dan berbaloi untuk ditonton.
Bukan itu sahaja, Android box juga membolehkan anda melayari internet dan menonton Youtube.
Malah, siaran yang turut ditawarkan syarikat televisyen bebayar turut boleh ditonton secara haram menerusi peranti tersebut.
Perkara tersebut menimbulkan rasa kurang senang pengarah terkenal, Aziz M. Osman.
Beliau menyifatkan perbuatan menonton rancangan tv berbayar menggunakan Android box yang tidak sah tidak ubah seperti seorang pencuri.
“Saya bukan penyokong stesen TV berbayar. Tapi menonton stesen TV dari Android Box sama juga dengan menyokong ‘pencuri’,” tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.
Perkongsian itu dibanjiri komen pengikutnya yang menyokong kenyataan tersebut. Ada di antara mereka yang mengatakan perbuatan berkenaan bukan menyokong pencuri tetapi hakikatnya turut sama mencuri.
Hargailah penat lelah yang dilakukan setiap pengarah dan penerbit di tanah air. Janganlah kita menyokong tindakan mencuri kerana ini akan merugikan industri filem tempatan.
Leave a Reply