Blog Berita Online

Berita Utama

Tujuh termasuk Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ direman rasuah

SHAH ALAM – Seorang Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor antara tujuh individu yang direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing dua tahun lalu.

Kesemua suspek direman itu melibatkan lima anggota polis termasuk pegawai berpangkat Inspektor dan dua daripada JPJ.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli terhadap ketujuh-tujuh penjawat awam tersebut yang berusia 32 hingga 55 tahun.

Mereka yang hadir kira-kira pukul 10 pagi di Kompleks Mahkamah Shah Alam itu memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, penahanan mereka dilakukan bermula pukul 4.30 petang hingga 8.50 malam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, penahanan mereka adalah hasil siasatan lanjut terhadap empat suspek sebelum ini termasuk polis berpangkat Asisten Superintendan dan pemilik syarikat pembekal pekerja asing sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek baru ini turut terlibat menerima rasuah secara bulanan RM500 hingga 5,000 daripada seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat pembekal pekerja asing.

“Rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sumber turut memaklumkan kesalahan tersebut dilakukan mereka antara tahun 2018 dan 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! sebelum ini melaporkan empat individu termasuk seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan direman selama tiga hari bermula Isnin lalu kerana menerima rasuah bulanan . -K!ONLINE

Leave a Reply