ANKARA – Turki menemui 135 bilion kubik meter padu gas asli di selatan Laut Hitam, kata Presiden, Recep Tayyip Erdogan, semalam.
Penemuan baharu di lapangan Amasra-1 akan meningkatkan lagi jumlah potensi di wilayah berkenaan kepada 540 bilion kubik meter, kata Erdogan ketika bercakap pada upacara pembukaan di wilayah Laut Hitam Zonguldak.
Tahun lalu, Turki mengumumkan menemui 405 bilion kubik meter padu simpanan gas asli di wilayah Laut Hitam Sakarya, kira-kira 100 batu nautika di utara pantai Turki, lapor agensi berita Xinhua.
Jika gas terbabit dapat diekstrak secara komersial, penemuan itu dapat membantu Turki mengurangkan kebergantungan negara berkenaan terhadap import sumber tenaga dari negara seperti Russia, Iran dan Azerbaijan.
Ketika ini, Ankara bergantung penuh dengan Russia untuk sumber tenaganya dan ia berhasrat untuk mempelbagaikan bekalannya.
Erdogan sebelum ini mengarahkan kerja penerokaan semula sumber tenaga kontroversi di luar pantai selatan Turki berhampiran Pulau Greece yang menjadi pertikaian di perairan timur Mediterranean.
Isu berkenaan mencetuskan pertelingkahan antara Ankara dan Athens, Cyprus dan Kesatuan Eropah (EU) dan memburukkan lagi ketegangan dengan Perancis yang bertindak meningkatkan kehadiran tentera mereka di rantau terbabit. – BERNAMA
Leave a Reply