Blog Berita Online

Berita Utama

Ujian makmal mendapati objek ditemui wanita bukan muntah ikan paus

Kuala Terengganu: Kajian terhadap objek didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang ditemui wanita di perairan Marang, baru-baru ini, kini berada pada peringkat akhir dan dilakukan Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.

Pengarah PPPL, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, pihaknya sudah melakukan ujian terhadap bahan berkenaan selama satu minggu bagi menentusahkan sama ada ia adalah muntah ikan paus atau bukan.

Beliau berkata, menerusi kajian dijalankan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, itu sudah melepasi beberapa peringkat dan setakat ini belum ada tanda bahan berkenaan adalah muntah ikan paus.

Menurutnya, sehingga kini kajian mendapati bahan itu tidak memiliki tiga bahan aktif utama terdapat pada ambergris tulen.

“Tiga bahan utama itu adalah ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol 30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

“Jadi sehingga kini, kita belum dapat memastikan bahan itu adalah muntah ikan paus sehingga selesai peringkat akhir kajian.

“Selepas selesai kajian, kita akan serahkan keputusan kepada Jabatan Perikanan,” katanya ketika ditemui di Makmal PPPL, UMT, di sini, hari ini.

Beliau berkata, analisis dilakukan membabitkan beberapa proses antaranya ujian melarutkan bahan berkenaan dalam pelarut organik, pengeringan dan beberapa lagi proses sebelum bahan itu diuji untuk menentukan sama ada ia ambergris atau bukan.

Katanya, berdasarkan pandangan mata kasar, bahan itu memang nampak seakan sama seperti ketulan muntah ikan paus dan hanya ujian makmal sahaja boleh menentukannya.

“Sehingga kini, ketulan didakwa muntah ikan paus pernah ditemui di perairan negara sejak Januari hingga kini, belum ada yang tulen.

“Dalam tempoh itu, kita sudah melakukan kajian terhadap 18 sample diterima, namun semua sample berkenaan disahkan bukan ambergris.

“Bahan berkenaan kemungkinan pengumpulan lemak, sayur dan sebagainya atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa dibuang ke laut, tetapi hasil kajian ia bukan ambergris,” katanya.

Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth, England.

Leave a Reply