Blog Berita Online

Politik

UMNO, Pas jadi ancaman kepada orang Melayu, dakwa Mujahid

SEREMBAN – UMNO yang berjuang untuk Melayu sering menyerang kaum lain dengan melabel kaum lain sebagai musuh dan ancaman kepada orang Melayu, dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau menambah, Pas pula yang membawa nama Islam sering menjadikan orang bukan Islam sebagai ancaman kepada Melayu dan Islam

“Retorik politik Melayu Islam yang dibawa oleh UMNO dan Pas boleh menjadi ancaman kepada orang Melayu dengan memesong kompas nilai orang Melayu dan mengikis keupayaan orang Melayu membuat pertimbangan rasional dalam penentuan masa depan negara.

“Retorik politik Melayu Islam hanyalah tipu daya politik ke atas orang Melayu bagi UMNO dan Pas menyelamatkan diri dan kekal berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul di Konvensyen Nasional PAN di sini hari ini.

Mujahid yang juga bekas menteri Kabinet pada zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut mengajak orang Melayu mengambil tanggungjawab terhadap masa depan negara.

Jelas beliau, kaum terbesar di negara ini juga perlu mengambil berat pemilihan kepimpinan agar pengurusan dasar dan pentadbiran khazanah negara diberikan kepada mereka yang layak dan beramanah.

“Perlunya PAN menggagas dan mengangkat satu naratif baharu politik untuk orang Melayu bagi mengangkat nilai Melayu pada tempat yang lebih bermaruah.

“Naratif baharu politik Melayu ini berasaskan Islam menjamin keadilan untuk semua dan membawa keharmonian dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply