Blog Berita Online

Berita Utama

Program vaksin berbayar bakal dilaksana dengan bayaran RM350 untuk dua dos

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejaskan usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu juga bagi menampung kekurangan yang dijangka berlaku berikutan sumber sahih mengatakan bekalan vaksin Pfizer mungkin mengalami gangguan pengeluaran yang memberi kesan kepada negara menggunakan vaksin itu termasuk Malaysia.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata kerajaan negeri akan meminta syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka, manakala selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat yang layak.

“Kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin jika berlaku kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh vaksin dengan segera. Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Isu peningkatan mendadak kes COVID-19 dan program vaksinasi dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini termasuk mendengar cadangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai langkah menangani situasi berkenaan.

Masidi berkata, syarikat swasta khususnya syarikat perladangan besar juga digalak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan pekerja masing-masing dengan membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka tanpa menunggu vaksin percuma diberi kerajaan.

“Kita maklum sebahagian besar iaitu 80 peratus daripada pekerja ladang adalah rakyat asing. Program amal ini atau CSR akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tidak kira warganegara atau bukan.

“Kerajaan negeri bersedia menimbangkan untuk membenarkan ladang besar yang berjaya memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja mereka, termasuk keluarga, beroperasi semula dengan kapasiti tenaga kerja penuh atau 100 peratus,” katanya.

Masidi berkata, syarikat berhasrat membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh menghubungi GLC negeri, Qhazanah Sabah.

Katanya, syarikat milik kerajaan negeri itu dilantik Pharmaniaga Bhd yang mempunyai kilang mengeluarkan sehingga empat juta dos vaksin Sinovac sebulan sebagai wakil penjualan vaksin itu di Sabah kerana mempunyai kemudahan penyimpanan di sini.

“Kerajaan negeri menjamin pemberian vaksin secara percuma kepada semua penduduk Sabah. Cadangan menggalakkan syarikat besar menderma vaksin kepada pekerja mereka untuk mempercepatkan usaha kita supaya Sabah mencapai imuniti kelompok dan dalam masa sama, membolehkan syarikat terbabit beroperasi sepenuhnya apabila semua pekerja lengkap divaksin,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian sedang dilaksanakan JKNS dengan kerjasama pelbagai agensi yang sehingga semalam berjaya menyuntik dos pertama vaksin kepada 42 peratus penduduk Sabah, manakala 18.1 peratus lengkap dua dos.

Bagaimanapun, katanya, Kabinet negeri menyedari pencapaian pemberian vaksin di setiap daerah berbeza berikutan ada daerah seperti Beaufort mencatat lebih 50 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin, manakala daerah lain masih ketinggalan dengan ada antaranya mencatat kurang 12 peratus imuniti kelompok.

“Kabinet negeri sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi rendah ini dan mengambil tindakan segera memperbaikinya. Presiden majlis perbandaran, pengerusi lembaga bandaran dan pegawai daerah selaku Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) juga diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian ditetapkan,” katanya.

Leave a Reply