SATU kajian mendapati, individu yang dijangkiti varian Delta Covid-19 memiliki kandungan virus 300 kali lebih banyak berbanding varian asal, lapor portal berita MailOnline, kelmarin.
Kajian oleh sekumpulan saintis di Korea Selatan itu mendedahkan bahawa kandungan virus yang ditemui dalam sistem darah seseorang adalah tertinggi bagi pesakit dijangkiti varian Delta ketika mereka mula menunjukkan gejala awal.
Kadar kandungan virus itu hanya akan menurun secara beransur-ansur dan menjadi setara dengan varian lain selepas hari jangkitan mencecah 10 hari, demikian menurut Badan Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDA).
Bagaimanapun, para penyelidik menekankan bahawa ini tidak bermaksud varian Delta adalah 300 kali lebih mudah berjangkit daripada virus yang muncul di Wuhan pada tahun 2019.
“Kami berpendapat kadar penularannya adalah 1.6 kali ganda daripada varian Alpha dan kira-kira dua kali ganda versi virus yang asal,” kata kajian tersebut.
Kajian itu membandingkan kandungan virus dalam 1,848 pesakit yang dijangkiti varian Delta dengan 22,106 orang yang mengalami varian lain. – AGENSI
Leave a Reply