Blog Berita Online

Berita Utama

Wanita dipenjara 6 bulan buang bayi dalam lubang kumbahan

PERBUATAN seorang wanita yang menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayinya ke lubang kumbahan awal bulan lalu, akhirnya menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Norfatihen Salleh, 23, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang sudah dituduh, didakwa menyembunyikan kelahiran seorang mayat bayi berusia kira-kira tujuh bulan (dalam kandungan) dengan cara membuangnya ke dalam lubang kumbahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang rumah di Kampung Kandang, Ayer Keroh, kira-kira 12.30 tengah malam, pada 7 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, yang memohon hukuman setimpal dikenakan supaya dijadikan pengajaran.

Sementara itu tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan.

“Saya insaf dan menyesal dengan perbuatan ini. Kini saya bukan hanya dibuang kerja malah turut dibuang keluarga,” katanya.

Teman lelaki Norfatihen pula dipenjara 12 bulan

Pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah menyembunyikan kelahiran bayi milik teman wanitanya, awal bulan ini.

Muhammad Faiz Zakariyah, 25, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi wanita yang masih bebas didakwa menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayatnya ke dalam lubang kumbahan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Kampung Kandang, 12.30 pagi, 7 Jun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku menerima mayat bayi berbalut plastik daripada teman wanitanya sebelum membuangnya ke dalam lubang kumbahan di belakang rumah sewa milik keluarganya di Kampung Kandang.

Siasatan polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kemudian menemui dua cebisan daging dipercayai kaki, dua cebisan tangan dan beberapa cebisan kulit bayi.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman pemenjaraan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh tangkap dan didenda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Terdahulu, sebelum penghakimannya, Shu Yee menegaskan isu pembuangan bayi adalah tindakan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab selain terdapat pihak yang boleh menjaga demi kelangsungan kehidupan bayi berkenaan.

“Diharap hukuman ini dijadikan pengajaran kepada semua masyarakat di luar sana,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!