Blog Berita Online

Berita Utama

Wanita koma dipukul suami positif Covid-19, adik rayu doa orang ramai

SEREMBAN: Wanita yang koma akibat dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, disahkan positif COVID-19 selepas sebulan dimasukkan ke hospital kerana demam.

Adiknya, Fauziah, 40, berkata, dia sekeluarga hairan kerana kakaknya itu dijangkiti sedangkan tiada ahli keluarga dibenarkan masuk ke wad berkenaan.

“Pihak hospital memaklumkan kakak dipindahkan ke wad COVID-19 Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban petang semalam.

“Berita ini agak mengejutkan dan kami bimbang lebih-lebih lagi dengan keadaan kakak yang tidak dapat bergerak dan bercakap. Sebelum ini dia juga alami demam dan muntah dan terpaksa terlantar di hospital selama sebulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fauziah berkata, apa yang lebih membimbangkan Jahidah belum mengambil vaksin COVID-19, sekali gus wabak berkenaan memberi kesan lebih teruk kepada kakaknya yang memang mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Disebabkan itu pihak hospital memaklumkan yang Jahidah akan dipantau dalam tempoh 10 hari. Jadi kami berserahlah dan harapnya kakak akan pulih,” katanya.

Sementara itu, ditanya cahaya mata Jahidah yang dilahirkan secara pembedahan ketika wanita itu masih koma, Fauziah berkata, J Eshan Nufail yang sudah berusia dua bulan berada dalam keadaan baik namun sedikit meragam semalam berkemungkinan kerana rindu kepada ibunya.

Bagaimanapun katanya, bayi berkenaan tidur lena selepas diselimutkan dengan baju Jahidah.

Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik pada 21 Januari lalu.

Media sebelum ini melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Leave a Reply