PORT DICKSON – Seorang lelaki yang dikenali dengan sifat mesra dan lawaknya di sekitar Negeri Sembilan, ‘Acik Mael On Tak On’ meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini petang tadi.
Acik Mael sering memuat naik video pendek di media sosial Facebooknya @maelyypang dengan tagline popularnya ‘On Tak On’.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, ‘Acik Mael On Tak On’ atau nama sebenarnya Faizee Azmee, 47, yang cedera parah di kepala dilaporkan meninggal dunia pada pukul 8.38 malam tadi selepas mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson.
Aidi Sham berkata, kemalangan pada pukul 4.57 petang itu, melibatkan sebuah motosikal jenis C100 dipandu mangsa dan masing-masing sebuah kereta Perodua Bezza dan Perodua Aruz.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu kereta Perodua Aruz dipandu seorang anggota tentera lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison Si Rusa.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika Perodua Aruz itu bergerak terus tiba-tiba sebuah kereta Perodua Bezza dipandu anggota tentera wanita dan sebuah motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang arah Telok Kemang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, pemandu kereta Perodua Aruz tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian kanan motosikal menyebabkan mangsa melambung kemudian terjatuh di bahagian bumper kereta Perodua Bezza sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan itu, mangsa penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala telah di bawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, pada pukul 8.38 malam pihak hospital mengesahkan mangaa telah neninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE
Leave a Reply