Berita Utama

Bayi masih bertali pusat ditemui dalam kotak

KUALA KANGSAR – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat, ditemui sekumpulan peniaga kompleks niaga Bangunan UDA di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar, di sini, pagi tadi.

Peniaga gerai makanan, Mohamad Kamal Ashari, 25, berkata penemuan bayi berkenan hanya disedarinya kira-kira jam 9 pagi, ketika ingin memasuki gerai diusahakan di bangunan terbabit.

Beliau berkata, bayi yang masih bertali pusat bersama uri yang belum dipotong itu, ditemui dalam sebuah kotak diletakkan di kaki lima gerainya, selain dalam keadaan diserkup tuala yang ada kesan darah.

“Saya datang ke gerai jam 9 pagi, namun mengikut peniaga lain, kotak itu sudah berada di situ sejak gerai bersebelahan mula dibuka kira-kira jam 7 pagi.

“Mulanya, kami ingat ada orang buang anak kucing memandangkan penduduk setempat gemar membuang kucing di kawasan ini. Bagaimanapun timbul perasaan curiga apabila saya terdengar tangisan bayi itu, namun bunyinya sangat perlahan.

“Mungkin disebabkan bayi malang itu diserkup tuala, justeru peniaga lain tidak menyedari tangisannya,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi itu hari ini.

Seorang lagi peniaga, Zainab Wahab, 51, berkata dia bersama kakaknya melihat kotak di situ kira-kira jam 6.50 pagi sejurus tiba untuk membuka gerai, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Kami sangkakan kotak itu berisi anak kucing yang mungkin dibuang orang malam tadi, tambahan pula waktu itu kami sibuk bersiap memulakan perniagaan dan melayan pelanggan.

“Tangisan bayi berkenaan juga tidak kedengaran sehinggalah Mohamad Kamal mula mendengarnya sebelum kami semua terkejut dengan penemuan itu,” katanya.

Katanya, susulan penemuan itu, difahamkan kakitangan Hospital Kuala Kangsar serta polis datang ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu.

Loading...

Leave a Reply