Blog Berita Online

Sukan

‘Ini adalah keputusan yang memalukan, pingat emas dan rekod dunia dicuri’ – Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin mengecam keputusan membatalkan kemenangan lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli atas sebab teknikal selepas atlet paralimpik itu meraih rekod dunia dalam acara berkenaan di Tokyo.

Mengulas pengumuman keputusan rasmi Sukan Paralimpik itu, Khairy menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “memalukan” dan bertentangan dengan semangat temasya sukan berkenaan.

“Ini keputusan memalukan yang terang-terangan bertentangan dengan semangat Paralimpik,” katanya dalam hantaran di Twitter.

“Jika setakat pelanggaran ‘call room’ sepatutnya mereka tidak dibenarkan bertanding dari awal lagi. Jahat dan remeh. Pingat emas dan rekod dunia yang dicuri,” katanya yang kini menyandang jawatan Menteri Kesihatan.

Astro Arena melaporkan pembatalan Ziyad itu susulan protes daripada atlet Ukrain selepas acara itu selesai, bahawa beliau antara tiga individu yang lambat memasuki ‘call room’ sebelum acara bermula.

Atlet Ukraine itu, Maksym Koval kemudian diberikan pingat emas.

Pasukan Malaysia telah merayu terhadap keputusan itu yang sedang dibincangkan pihak berkuasa temasya itu. Keputusan dijangka diperoleh lewat malam ini, kata Astro Arena.

Warganet turut menyuarakan kekeliruan dan rasa berang dengan pembatalan kemenangan Ziyad itu dengan menegaskan beliau tidak patut menyertai acara berkenaan dari awal sekiranya benar telah melanggar peraturan.

Mereka turut mempertikaikan kenapa Maksym hanya memprotes selepas acara itu berakhir, dan bukan dari awal.

Leave a Reply