Berita Utama

Pelajar hidup sebatang kara terima sumbangan

BAHAU – Pelajar tingkatan enam yang hidup sendiri terharu apabila menerima sumbangan tablet di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, di sini, hari ini.

Muhammad Zuhairi Apyanto, 19, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang mahu memberikan sumbangan kepadanya.

“Ketika itu saya berada di sekolah dan saya berjumpa dengan mereka di luar pagar. Saya merasa terharu apabila menerima sebuah tablet untuk kegunaan pembelajaran serta wang tunai.

“Paling saya terharu mereka mengambil saya sebagai ‘anak angkat’ PERKASIH N9 yang pastinya amat saya hargai kerana hidup sekarang sebatang kara, dapatlah saya menumpang kasih,” katanya.

Katanya, dia hidup sebatang kara kerana bapanya membawa haluan sejak lima tahun lalu manakala ibunya pula menghilangkan diri dua bulan lalu.

“Bagi saya mereka mungkin ada masalah dan saya perlu meneruskan persekolahan hingga ke peringkat tertinggi walaupun terpaksa hidup sendirian, saya yakin mampu melakukannya.

“Nasib saya baik apabila diterima bekerja di sebuah restoran, siap dengan tempat tinggal disediakan untuk pekerja,” katanya.

Muhammad Zuhairi berkata, dia perlu cekalkan diri dan tidak mahu memandang ke belakang.

“Terima kasih kepada majikan kerana sangat memahami, membantu dan sering memberi kata-kata perangsang untuk saya meneruskan pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, sebaik mengetahui seorang pelajar terpaksa bekerja sambil belajar, pihaknya terus memberi bantuan dan bersetuju mengambil dia sebagai ‘anak angkat’.

“Bukan semua pelajar dapat bertindak matang apabila ditimpa masalah tetapi Muhammad Zuhairi dapat terus belajar cuma dalam keadaan serba kekurangan.

“Kami menyumbang sebuah tablet dan wang tunai kerana dapat tahu dia memerlukan pakaian baru untuk kegunaan ke sekolah agar dia boleh membeli keperluan itu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!