Blog Berita Online

Berita Utama

Penyampai radio Johor FM, Junaidah Alahan meninggal dunia akibat SLE

JOHOR BAHRU – Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Johor, Junaidah Alahan meninggal dunia tengah malam tadi akibat penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

Junaidah, 48, atau lebih dikenali sebagai KJ, juga merupakan penyampai radio JOHORfm selama 22 tahun meninggalkan seorang suami dan empat anak berusia antara 16 hingga 22 tahun.

Mohd Hafiz Hamdan, yang juga pemandu kenderaan di RTM Johor berkata, isterinya meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, pada pukul 12.55 tengah malam.

Selepas lebih seminggu dimasukkan ke wad HSA, Allahyarham meninggal dunia akibat penyakit SLE yang dihidapi sejak 21 tahun lalu, ujarnya.

“Dia seorang isteri yang terbaik, tidak berkira dan jika ada apa-apa berlaku kami akan selesaikan bersama, apa pun mungkin Allah lebih menyayangi dia,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penyiaran Johor, Ramlee Johari berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga kerja JOHORfm.

“Kita kehilangan pegawai yang dikasihi semua, beliau seorang yang bersopan santun dan selalu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan amanah serta tidak pernah menolak.

“Saya rasa kita semua harus mencontohi keperibadian beliau, saya harap keluarga Allahyarham terus kuat atas pemergiannya,” katanya.

Jenazah Junaidah akan dimandikan dan disembahyang di Surau AtTaqwa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply