Berita Utama

Perkhidmatan bas percuma di Putrajaya bermula 1 November

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi pengguna di pusat pentadbiran kerajaan itu bermula 1 November ini.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar berkata, sebanyak 40 bas percuma disediakan kepada warga negara Malaysia sebagai antara inisiatif bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu meringankan beban rakyat terkesan akibat pendemik Covid-19.

Beliau berkata, perkhidmatan bas percuma itu akan bermula dengan 10 bas dan ditambah secara berperingkat dan pengguna boleh mendaftar bagi mendapatkan kad percuma, manakala warga asing dikenakan caj RM1.50 bagi setiap perjalanan.

“Kemudahan bas percuma ini membabitkan semua laluan bas Nadi Putra di bawah kendalian Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tour Sdn Bhd (PAPTT) membabitkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Selain dapat meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di pusat pentadbiran kerajaan ini, ia mampu membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bas Percuma di hentian bas Persiaran Perdana, Presint 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Laluan perkhidmatan bas percuma itu bermula di Kompleks E (T500) melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

Kekerapan bagi laluan utama itu ada;ah setiap 5 minit pada waktu puncak bermula 6.30 pagi sehingga 9 pagi dan 4 petang sehingga 6.40 petang.

Bas itu akan bergerak setiap 10 minit pada bukan waktu puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

Rosida berkata, perkhidmatan bas itu melalui 11 laluan kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4.

Beliau berkata, kekerapan bagi laluan ini adalah setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Setakat ini 4,000 pengguna sudah mendaftar dan mereka berpeluang menggunakan perkhidmatan percuma untuk ke tempat kerja dan urusan seharian.

“Inisiatif bas percuma ini membabitkan anggaran kos berjumlah RM12 juta setahun dan dijangka meningkat 50 peratus pertambahan penumpang pada 2021,” katanya.

Loading...

Leave a Reply