Berita Utama

Premis ayam diserbu lagi, buang sisa dalam lurang kumbahan

KLANG – Sebuah premis memproses ayam ternyata terus berdegil apabila terus membuang sisa pemprosesannya di lurang kumbahan dalam kejadian di Taman Industri di sini hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kali pertama premis yang telah 12 tahun beroperasi itu diserbu adalah pada November tahun lalu.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil aduan IWK Unit Klang berkaitan kemasukan efluen terlarang iaitu sisa pemprosesan ayam ke dalam paip kumbahan syarikat itu.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati premis itu dipercayai melepaskan sisa terlarang iaitu bulu ayam ke dalam saluran pembetungan dan memasuki loji rawatan kumbahan awam.

“Ia sekali gus menyebabkan saluran pada kumbahan milik IWK tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam disiasat mengikut Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang disyaki melakukan perbuatan itu,” katanya.

Tambah beliau, MPK turut menyita premis berkenaan untuk tindakan lanjut. -K!ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!