Berita Utama

Suspek kes bunuh di Hulu Terengganu rakan baik mangsa sendiri?

Tular di media sosial dakwaan yang mengatakan bahawa kejadian bunuh melibatkan seorang remaja wanita di Kampung Lubok Batu, Telemong semalam bermotifkan dendam.

Menurut sumber tersebut, suspek juga merupakan rakan karib mangsa sendiri dan bersekolah di sekolah yang sama.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada tindakan mangsa yang enggan memberikan wang kepada suspek untuk membayar hutangnya.

Suspek dikatakan telah datang ke rumah mangsa untuk meminjam wang sebelum mencucuk leher mangsa dengan pisau lipat menyebabkan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian.

Menurut sumber lagi, suspek turut menoreh muka mangsa dan lebih kejam, mengelar pergelangan tangan mangsa hingga putus untuk mengambil gelang dan rantai milik mangsa.

Suspek juga telah mengambil sejumlah wang bernilai ratusan ringgit selain dua beg tangan serta dua telefon bimbit.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.

Mayat mangsa ditemui adik bongsunya yang berusia 15 tahun sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.

Menurut bapa mangsa, Ismail Muda, 58, ketika kejadian beliau tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!