JAKARTA – Imam Masjid Aolia di daerah Panggang, Gunungkidul di Jogjakarta, Indonesia memohon maaf atas kenyataannya berhubung beliau telah menghubungi ‘Tuhan’ sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama jemaah masjid itu pada Jumaat, 5 April 2024.
“Terkait pernyataan saya pagi tadi (Sabtu) tentang istilah menelefon ALLAH SWT, itu sebenarnya hanya istilah. Yang sebenarnya, ia perjalanan spiritual (kerohanian) saya, kontak batin dengan ALLAH SWT.
“Apabila pernyataan saya yang menyinggung atau tidak berkenan, saya mohon maaf yang sebesar-besarnya kepada semua pihak… terima kasih,” kata imam Sholeh Pranolo dalam satu rakaman video yang tular pada Sabtu.
Beberapa jam sebelum membuat permohonan maaf itu, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mbah Benu menerima kecaman hebat kerana mendakwa telah ‘menelefon’ ALLAH untuk bertanyakan tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya tidak menggunakan (cara) perhitungan. Saya telefon kepada ALLAH. Ya ALLAH… hari ini (Khamis, 4 April 2024) sudah 29 (Ramadan), bilakah 1 Syawal?,” ujarnya seperti dilaporkan portal berita suara.com.
Mbah Benu yang yang sudah berusia 82 tahun kemudiannya telah diberitahu tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 5 April 2024 – lima hari lebih awal daripada keputusan Pimpinan Pusat Muhammadiyah yang menjangkakan ia jatuh pada Rabu, 10 April 2024.
Menurut laporan suara.com lagi, berdasarkan apa yang telah dimaklumkan kepadanya, Mbah Benu membuat keputusan untuk menyambut 1 Syawal bersama sebahagian jemaahnya pada Jumaat, 5 April 2024.
Sebelum itu, jemaah Masjid Aolia dilaporkan sudah mula berpuasa pada Khamis, 7 Mac 2024.
Pada Khamis lalu, portal berita Detiknews melaporkan, jemaah di daerah itu akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah imam Masjid Aolia di Kabupaten Gunungkidul. – Agensi
Leave a Reply